mutakhir

Suami tumbuk isteri rakam perbuatannya bawa masuk teman wanita

Oleh Aizat Sharif

Arau: Seorang wanita cedera ditumbuk suaminya selepas cuba merakam perbuatan suaminya yang membawa masuk seorang wanita tidak dikenalinya ke dalam bilik rumah mereka di Arau pada Selasa lalu.

Kejadian berlaku pada jam 5.10 petang apabila mangsa yang berusia 53 tahun itu baharu tiba di rumahnya di Taman Desa Pauh, Pauh, di sini mendapati suaminya yang berusia 49 tahun sedang bergegas menolak seorang wanita yang tidak dikenali mangsa masuk ke dalam bilik air di dalam bilik tidur utama mereka.

Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, wanita berkenaan dipercayai teman wanita kepada suami mangsa

"Geram dengan perbuatan suaminya itu, mangsa kemudian bertindak merakam perbuatan suspek bersama teman wanitanya itu dan apabila suspek menyedari akan hal itu maka berlaku berlaku pergelutan antara mereka.

"Suspek yang berang kemudian merampas dan membuang telefon bimbit mangsa ke lantai sehingga pecah sebelum menyiku atas bahu, menampar dan menumbuk bahagian muka mangsa sehingga terjatuh yang mengakibatkan bahu mangsa mengalami sakit manakala mukanya pula bengkak.

"Semasa kejadian juga, anak lelaki mangsa yang berusia 16 tahun cuba membantu mangsa namun suspek bertindak mencekik leher dan menumbuk dada dan bahagian mulut anak mangsa sehingga mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan media.

Katanya, adik kepada mangsa pula bertindak masuk campur dan meleraikan pergaduhan berkenaan sebelum mangsa kemudian tampil ke Balai Polis Arau untuk membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

"Siasatan awal mendapati rumah teres setingkat yang didiami pasangan itu adalah milik mendiang ibu suspek.

"Selepas laporan polis dibuat, mangsa dan anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah Kangar.

"Hasil laporan awal perubatan oleh doktor mendapati mangsa mengalami kesan bengkak di bahagian pipi kiri dan bahu kiri manakala anak lelaki mangsa pula mengalami sakit di bahagian kepala, tangan kanan, lutut kanan dan perut," katanya.

Suspek yang tidak bekerja itu kemudian ditahan polis dan direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Disiarkan pada: November 23, 2023 @ 7:01pm
d