mutakhir

Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang dibuka semula mulai April depan

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Bagan Datuk: Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang di sini yang ditutup sejak 2020 akibat penularan Covid-19, akan dibuka semula pada April tahun hadapan, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Terminal itu menghubungkan Hutan Melintang dengan Pelabuhan Teluk Nibung di Tanjung Balai, Sumatera, Indonesia yang kebiasaannya menjadi pengangkutan utama pekerja warga negara jiran itu berulang-alik setiap kali perayaan.

Saarani berkata, terminal yang diuruskan oleh pengurusan baharu itu akan beroperasi bersama sebuah jeti kargo menjadikan ia sebuah pelabuhan baharu dengan kelulusan operasinya berada di peringkat akhir.

Menurutnya, kemudahan utama pelabuhan seperti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sudah siap dibina sepenuhnya.

"Walaupun pelabuhan ini bukanlah satu pelabuhan 'per se' (seumpamanya), hanya macam jeti sahaja, tetapi semua keperluan untuk mendarat barang dagangan secara sah di kawasan itu disediakan.

"Hanya ada beberapa urusan yang masih dalam peringkat tindakan daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) perlu diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pelabuhan Hutan Melintang, di sini, hari ini.

Saarani berkata kerajaan negeri yakin pembukaan pelabuhan itu akan membantu menjana pertumbuhan ekonomi di daerah itu.

"Kargo dari luar negara boleh mendaratkan ikan dan hasil laut di pelabuhan dan dalam waktu sama beroperasi di situ adalah feri menghubungkan Bagan Datuk dengan Indonesia," katanya.

Jeti kargo berkenaan berpotensi menjalankan pengimportan hasil laut dan hasil pertanian untuk pasaran dalam negara serta diproses untuk diekport ke negara lain.

Komoditi lain seperti beras, minyak, kelapa dan kayu yang siap diproses bakal didagang melalui jeti tersebut antaranya membabitkan Indonesia, Thailand dan Myanmar.

Disiarkan pada: November 23, 2023 @ 11:37pm
d