mutakhir

Isteri Timbalan Speaker Dun Selangor meninggal dunia

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Suzana Shaharudin meninggal dunia di Hospital Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur pada 12.02 tengah hari ini.

Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli berkata Suzana, 51, yang juga isteri kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor Mohd Kamri Kamaruddin, meninggal dunia akibat penyakit barah yang dialaminya sejak awal tahun ini.

"Beliau seorang yang amat komited dalam perjuangan PKR, saya sempat bertemu dengannya semasa tempoh kempen Pilihan Raya Negeri lalu yang turut berkempen bagi membantu suaminya (Adun Bukit Antarabangsa).

"Jenazah Suzana akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang selepas Asar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Suzana juga juga Exco Wanita PKR dan bekas penyelaras Dun Bukit Antarabangsa.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menerusi Facebooknya turut melahirkan rasa dukacita atas kematian Suzana yang juga Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan rakan seperjuangannya.

"Semoga Allah mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang yang solehah.

"Saya turut mendoakan agar YB (Yang Berhormat) Mohd Kamri Kamaruddin dan keluarga Allahyarham tabah dengan ujian yang teramat berat ini," katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2023 @ 4:54pm
d