mutakhir

Pekema mohon naikkan bilangan AP kenderaan terpakai

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) untuk menaikkan bilangan permit import (AP) kenderaan terpakai daripada 35,000 unit kepada 50,000 unit setahun, dengan mengekalkan fi import RM10,000 setiap unit.

Presiden Pekema Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, peningkatan kenderaan import akan membawa faedah kepada semua pihak yang terbabit dalam industri kenderaan kereta import dan industri hilirannya.

Nazari yakin langkah itu dapat menambah penjanaan ekonomi melebihi RM2 bilion setiap tahun yang disumbangkan daripada industri kenderaan import, selain daripada itu ia juga mendatangkan hasil fi import kenderaan kepada Miti.

"Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula akan dapat kutipan hasil daripada duti import, duti eksais dan cukai jualan. Ia juga akan menjana pendapatan kepada industri lain yang terlibat seperti perbankan, insurans, waranti kenderaan dan lain-lain.

"Dasar kerajaan yang memperkenalkan Dasar AP Terbuka sudah meningkatkan jumlah pemegang AP daripada 100 syarikat kepada 300 syarikat sehingga kini. Oleh itu, peruntukan AP sebanyak 35,000 setahun adalah tidak mencukupi untuk digunapakai oleh keseluruhan ahli Pekema.

"Saya amatlah berharap agar Miti dapat meluluskan permohonan untuk menambahkan kenderaan import terpakai sebanyak 15,000 unit kepada 50,000 unit setahunsupaya dapatmemberi ruang yang lebih besar bagi pertumbuhan dalam pasaran kenderaan negara kereta," katanya dalam kenyataan.

Kenyataan Nazari itu susulan Mesyuarat Agung Tahunan Pekema Ke-42 yang berlangsung di sini, semalam.

Majlis perasmian mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Nazari berkata, dari segi peratusan jualan ia hanya 6.8 peratus daripada unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 725,000 oleh MAA untuk tahun 2023.

"Selain daripada itu tidak semua kenderaan ahli Pekema dapat dijual pada tahun kemasukan kenderaan tersebut," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pihaknya akan membuat penilaian berdasarkan data terkini bersama Pekema dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi tujuan berkenaan.

"Had kepada 50,000 unit dimohon kerana tahap yang ada sekarang iaitu 35,000 unit sudah lebih 30 tahun dan tidak memberi gambaran apa yang telah berlaku dalam masa tahun ini.

"Kementerian akan memperhalusi dan akan bekerjasama dengan Pekema untuk mencari asas justifikasi kenapa tahap ini perlu dilihat semula," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2023 @ 6:51pm
d