mutakhir

Tiga sekeluarga cemas kereta dipijak gajah

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Gerik: Tiga sekeluarga berhadapan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka dipijak oleh kumpulan gajah di KM55 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli iaitu sebelum Hentian Titiwangsa menghala Jeli di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata kejadian kira-kira jam 7.35 malam tadi itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa mahupun kecederaan terhadap pemandu serta dua penumpang Perodua Axia berkenaan.

Menurutnya, siasatan mendapati Perodua Axia itu yang dalam perjalanan dari arah Pulau Pinang menghala ke Jertih, Terengganu itu dipijak kumpulan gajah berkenaan selepas kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun itu terlanggar anak gajah.

"Apabila sampai di lokasi kemalangan yang berselekoh ke kiri, tiba-tiba pemandu Perodua Axia itu ternampak enam gajah berada di lorong menghala Jeli dan kemudiannya kereta itu terlanggar anak gajah.

"Selepas itu kumpulan gajah terbabit menghampiri lalu memijak kereta berkenaan namun selepas anak gajah yang dilanggar itu bangun, kumpulan gajah terbabit kemudiannya beredar dengan pada waktu kejadian cuaca hujan renyai-renyai dan berkabus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, akibat kejadian itu kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian sisi kiri, hadapan, dan belakang namun pemandu serta dua penumpang kereta itu yang berusia 23 dan 47 tahun tidak mengalami kecederaan.

Disiarkan pada: November 27, 2023 @ 1:32pm
d