mutakhir

Abdul Wahab jalani rawatan, alami kemurungan melampau

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Abdul Wahab Abdul Kadir Jailani sedang menerima rawatan akibat mengalami kemurungan melampau.

Abdul Wahab yang dijadualkan memberi keterangan kepada pihak polis, semalam turut didakwa gagal dihubungi

Peguamnya, Faisal Rahman berkata, ia adalah salah faham dan pihaknya sudah menjadualkan semula pertemuan dengan polis bagi memberi keterangan.

"Saya berikan komitmen kepada pihak polis (bahawa) dalam minggu ini Wahab akan berikan keterangan.

"Wahab mengalami kemurungan melampau dan sedang mendapatkan rawatan, tarikh ditetapkan semalam (Ahad), tetapi atas faktor kesihatan, beliau tidak dapat (berbuat demikian)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut berhubung tindakan Abdul Wahab mematikan telefon bimbit, Faisal berkata, beliau yang mewakili anak guamnya sentiasa berhubung dengan pihak polis.

Semalam, media melaporkan polis masih mengesan Abdul Wahab bagi membantu siasatan berhubung kes rakaman video perbualan lucah kononnya membabitkan dirinya dan bekas Ketua Pengarah J-Kom Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata setakat ini, Abdul Wahab belum tampil bagi memberikan keterangan kepada polis.

Katanya, pelbagai usaha dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi mengesan Abdul Wahab.

Pada 17 November lalu, Abdul Wahab dalam satu sidang media di sebuah hotel di Bangi mendedahkan tindakannya merakam perbualan berunsur lucah bersama Mohammad Agus didalangi seorang individu dikenali sebagai Mr H.

Susulan kenyataannya itu, polis memanggil individu dipercayai Mr H yang dimaksudkan bagi dirakam keterangan.

Disiarkan pada: November 27, 2023 @ 2:18pm
d