mutakhir

Konsert mencolok mata di Bachok langgar enakmen hiburan Kelantan, kenapa boleh? - wanita PKR

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Wanita PKR Kelantan menuntut kerajaan negeri menyiasat konsert yang berlangsung di Bachok pada Jumaat lalu membabitkan penyanyi dari Thailand.

Ketuanya, Nor Azmiza Mamat berkata, ia susulan penularan video berkaitan konsert itu yang menampilkan artis berpakaian mencolok mata.

Katanya, persembahan membabitkan artis dikenali sebagai Thungpang Chanoknan yang disertai penari itu berjalan dalam keadaan tidak memenuhi Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan.

"Difahamkan, konsert itu dianjurkan sempena Pesta Loy Krathong.

"Kami menyokong pelaksanaan enakmen itu namun melihat konsert yang berlangsung, kami menuntut kerajaan negeri membuat siasatan lanjut serta mengambil tindakan sewajarnya kerana jelas ia melanggar Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan.

"Kami juga menuntut sebarang konsert selepas ini benar-benar mematuhi enakmen itu melalui penguatkuasaan tegas," katanya pada kenyataan, hari ini.

Azmiza berkata, dia percaya seluruh rakyat Kelantan tidak mahu enakmen yang dibanggakan selama ini dipandang enteng atau dianggap kosmetik semata-mata.

Beliau turut mempersoal adalah konsert di Bachok itu terkecuali daripada Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan.

Disiarkan pada: November 27, 2023 @ 3:32pm
d