mutakhir

Dr Sam miliki ciri calon PM masa depan - Muhyiddin

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diangkat sebagai calon Perdana Menteri (PM) bagi gabungan itu di masa depan.

Muhyidddin yang juga Presiden Bersatu berkata, keputusan pimpinan PAS meletakkan Menteri Besar Terengganu itu sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman juga langkah strategik dalam mengukuhkan kekuatan PN di peringkat nasional.

Katanya, Naib Presiden PAS berkenaan mempunyai kelayakan dan personaliti yang baik.

"Ya (calon PM), tak boleh dinafikan akan ada masa, saya kira mungkin kalau PN nanti mencipta sejarah (atau) sama ada sementara nak sampai PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16).

"Harapan kita pasti untuk kita menang besar dan membentuk kerajaan, jadi semua langkah-langkah yang diambil ini ialah antara langkah strategi, yang akan memberi gambaran pada rakyat keseluruhannya.

"Bahawa kita ada ramai tokoh yang bijaksana yang berkemampuan, terpuji sikapnya, berkelayakan profesional dan sebagainya (untuk mentadbir)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Santai Masyarakat di Felda Kerteh 5 dan 6, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yakin majoriti yang lebih besar mampu dicapai pada PRK kali ini berdasarkan keputusan pilihan raya yang lalu.

Beliau juga percaya pengundi di Kemaman lebih mengenali Ahmad Samsuri yang menjadi antara pemimpin mempunyai masa depan yang cukup baik, bukan sahaja di Terengganu tetapi di peringkat Persekutuan.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS.

BN mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala Ahmad Samsuri diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi parlimen itu yang dimenangi PAS sebelum ini.

Disiarkan pada: November 27, 2023 @ 9:46pm
d