mutakhir

Johor naik taraf jalan guna garisan 'glow in the dark'

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyenarai dan menilai jalan raya yang akan dinaik taraf untuk menggunakan garisan jalan bercahaya dalam gelap atau 'glow in the dark'.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, teknologi untuk garisan jalan raya itu adalah julung kali akan diperkenalkan di negeri itu.

Menurutnya, jalan raya yang disenaraikan akan menggunakan teknologi baharu berkenaan akan dinaik taraf pada tahun depan.

"JKR akan menyenaraikan dan menilai, mana satu jalan yang sesuai untuk digunakan teknologi 'glow in the dark' sebelum hujung tahun ini kerana bajet sebanyak RM1 juta yang diperuntukan adalah dalam Belanjawan Johor 2024," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis perasmian dan penyerahan Projek Jambatan Sungai Masai di Jalan Masai Lama di sini, semalam.

Menurutnya, jalan yang akan dinaik taraf menggunakan teknologi itu akan ditumpukan di di kawasan yang tiada pendawaian atau tidak sesuai ada tiang elektrik, kawasan terlalu gelap, selekoh-selekoh berbahaya dan jalan yang menghubungkan antara pekan.

Mohamad Fazli berkata, teknologi yang memantulkan cahaya pada garisan pembahagi jalan itu memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan berbanding garisan pembahagi jalan yang biasa.

"Berbanding garisan pembahagi biasa, kos teknologi ini adalah berlipat kali ganda.

"Peruntukan RM1 juta ini mungkin tidak banyak tetapi ini adalah permulaan untuk kita mempelbagaikan teknologi seumpama ini di Johor demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2023 @ 11:23am
d