mutakhir

595 hektar sawah di Kerian hadapi isu tanah jerlus

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kejadian tanah jerlus membabitkan 595 hektar sawah padi di Kerian mengakibatkan pesawah berdepan kerugian apabila padi tidak dapat dituai menggunakan jentera berat disebabkan tayar tenggelam dalam sawah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun (BN-Lintang) berkata, perkara itu membabitkan kawasan jelapang padi negeri di mukim Parit Buntar, Bagan Tiang, Tanjung Piandang dan Kuala Kurau.

Menurutnya, sehingga kini kejadian jerlus itu masih belum diwartakan sebagai kategori bencana melalui Jawatankuasa Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Katanya, ia pernah dibincangkan untuk menyenaraikan kejadian tanah jerlus ke dalam skop bantuan sebagai kejadian bencana dan memerlukan kelulusan di peringkat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Bagaimanapun, permohonan bantuan masih boleh dihantar untuk diproses dengan disertakan bersama laporan teknikal daripada Jabatan Pertanian disertakan bersama untuk permohonan bagi bantuan TBTP.

"Kelulusan permohonan tertakluk kepada Jawatankuasa Teknikal Induk di peringkat negeri dan kementerian.

"Di peringkat IADA Kerian, beberapa perancangan sudah dan akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah tanah jerlus di kawasan yang terjejas," katanya menjawab soalan lisan Muhammad Hakimi Mohd Dayat (PN-Titi Serong) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara langkah itu adalah program perataan tanah sawah (land levelling) bertujuan membentuk pemukaan tanah rata bagi menyokong sistem pengairan yang sempurna.

Katanya, selain itu program penyelenggaraan batas parit ladang yang berfungsi sebagai laluan untuk air berlebihan atau bertakung dalam petak sawah agar tidak merosakkan lapisan tanah keras.

"Jentera yang digunakan dalam petak sawah perlulah bersesuaian dengan tahap kekuatan galas tanah. Penggunaan bahan pelengkap tanah (soil amendment) seperti hydrogel, dolomite dan gypsum yang bertindak sebagai penstabil dan pengikat tanah boleh disyorkan untuk meningkatkan kepadatan tanah," katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2023 @ 12:48pm
d