mutakhir

Suri rumah terima faedah HUK daripada Perkeso

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Nasib seorang suri rumah yang cedera pada leher dan belakang pinggang akibat tergelincir ketika memasak terbela apabila menerima faedah Hilang Upaya Kekal (HUK).

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor Ismail Abi Hashim berkata, ketika kejadian, suri rumah berinsurans (SRB), Gurdeeep Kaur, 52, sedang menyediakan makanan tengah hari di rumahnya di Taman Klang Utama, Klang, Selangor.

Katanya, berdasarkan laporan, pada kejadian 17 Mei lalu, Gurdeep menuju ke kabinet dapur untuk mengambil sudu bagi merasa hidangan disediakan sebelum tergelincir disebabkan lantai basah dan berminyak.

"Gurdeep disahkan mengalami kecederaan 'slip disc' di bahagian leher dan belakang pinggang selepas mendapatkan rawatan di Hospital Columbia Asia, Klang pada hari sama.

"Susulan tuntutan Notis Bencana Domestik difailkan di Pejabat Perkeso Klang, hasil semakan mendapati, pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah

(SKSSR) secara sukarela ini layak diberikan faedah HUK.

"Kes beliau dirujuk ke penilai perubatan dan hasil keputusan, sebanyak 11 peratus diberikan dengan jumlah pampasan sekali bayar RM3,300," katanya pada kenyataan, hari ini.

Beliau mengadakan kunjungan ke kediaman Gurdeep di Taman Klang Utama hari ini, bersama Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei yang menyerahkan baucar faedah HUK.

Berdasarkan statistik setakat 26 November lalu, 200,528 pencarum SKSSR direkodkan dari seluruh negara, manakala jumlah pembayaran faedah kepada 364 penerima adalah RM974,769.

tamat

Disiarkan pada: December 5, 2023 @ 2:17pm
d