mutakhir

Jujutsu Kaisen popularkan Kuantan, kerajaan Pahang ambil inisiatif susulan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Nama Kuantan yang 'trending' di media sosial baru-baru ini selepas disebut dalam sebuah anime Jepun popular, Jujutsu Kaisen turut menarik perhatian Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man, berkata, justeru, kerajaan Pahang mengambil kesempatan mempromosikan Kuantan, khususnya pantai di daerah itu.

Justeru, katanya, kerajaan negeri sedang berusaha menghubungi pencipta anime berkenaan susulan ada peminat yang mencadangkan tugu peringatan dibina di pantai Kuantan.

"Kerajaan negeri tidak mengambil mudah perkara itu kerana perlu mendapat kelulusan daripada pencipta anime itu.

"Oleh itu, kita harap dapat keputusan daripada penciptanya supaya pantai itu menjadi tarikan terbaru kepada peminat anime seluruh dunia," katanya.

Yu Man berkata demikian ketika menjawab soalan Rosli Abdul Jabar (PN-Tanjung Lumpur) mengenai usaha kerajaan negeri untuk menarik kunjungan orang ramai ke pantai Anak Air, di sini.

Dalam episod ke-42 itu, watak dalam anime itu, Kento Nanami menyebut dia ingin melawat pantai di Kuantan, Malaysia sebelum kematiannya.

Setakat ini, ramai peminat anime itu meneka pantai yang dimaksudkan itu di Pantai Kempadang berbanding beberapa pantai lain yang popular iaitu pantai Teluk Cempedak, Batu Hitam, Cherating dan Sepat.

Disiarkan pada: December 6, 2023 @ 2:30pm
d