mutakhir

Zaman Annuar Musa buang berapa kandungan scam?

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi menafikan dakwaan kerajaan menyekat perbezaan pendapat dalam talian, sebaliknya menyatakan bahawa lebih 70 peratus kandungan yang dibuang adalah membabitkan promosi jualan haram dan online scam.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, statistik kandungan memudaratkan pada tahun 2023 adalah sebanyak 25,642 berbanding hanya 1,019 pada tahun sebelumnya.

Fahmi menegaskan bahawa kandungan yang dibuang bukan kerana mengkritik dirinya mahupun kerajaan.

"Tahun ni kita buang 18,140 kandungan scam. Zaman Annuar Musa (Tan Sri Annuar Musa) buang berapa? 315 je.

"Takkan dia tak cergas lawan scam pun nak salahkan saya?," katanya menerusi hantaran yang laman X miliknya, tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab hantaran bertajuk "Padam Kandungan: Langkah ke Arah Cengkaman Media", yang dimuat naik Pas Pusat di laman X.

Kelmarin, media melaporkan syarikat induk Facebook, Meta dan TikTok dari China melaporkan lonjakan permintaan kerajaan Malaysia untuk mengalih keluar kandungan atau menyekat akaun di platform berkenaan bagi tempoh enam bulan pertama 2023.

Berikutan itu, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkuat pada November 2022 berdepan tuduhan memungkiri janjinya untuk melindungi kebebasan bersuara.

Kerajaan bagaimanapun menafikan dakwaan ia menyekat perbezaan pendapat dalam talian dan sebaliknya menegaskan ia mahu mengekang provikatif yang menyentuh kaum, agama dan Raja.

Disiarkan pada: December 16, 2023 @ 2:43pm
d