mutakhir

Nusantara ibu kota baharu Indonesia

Oleh Agensi

Kuala Lumpur: Nusantara di Kalimantan Timur bakal menggantikan Jakarta sebagai ibu negara Indonesia. Ia sebahagian daripada rancangan Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi untuk mengagihkan aktiviti ekonomi ke seluruh negara itu dan mengurangkan kepadatan penduduk dan kesesakan lalu lintas di Jakarta.

Pembangunan Nusantara yang dijangka menelan belanja AS$32 bilion (kira-kira RM128 bilion) dilakukan secara berperingkat, mulai dari 2022 hingga 2045.

Nusantara menjanjikan sebuah 'kehidupan' yang lebih baik. Antaranya, kerajaan Indonesia menyasarkan untuk menempatkan semula sehingga 1.9 juta orang ke Nusantara menjelang 2045.

Jokowi sangat optimistik dengan projek mega itu. Beliau percaya peluang perniagaan dan pelaburan yang Nusantara akan bawa untuk Indonesia.

Pada satu persidangan di Singapura, Jokowi menyebut pelaburan di Nusantara sebagai peluang keemasan. Beliau berusaha untuk memberi jaminan kepada pelabur bahawa projek itu akan terus selamat tidak kira siapa yang memenangi pilihan raya presiden pada 2024.

Selain itu, keutamaan pembangunan di ibu negara baharu itu akan diberikan kepada pembinaan jalan utama, infrastruktur sanitasi air, istana presiden dan pejabat naib presiden. Infrastruktur asas yang disediakan sehingga 2024 akan berfungsi sebagai asas yang kukuh untuk menarik pelaburan swasta.

Nusantara juga bakal menjadi bandar raya yang mampan. Ia akan menjadi bandar pertama di Indonesia yang mengguna pakai 100 peratus tenaga boleh dibaharui menjelang 2045.

Berdasarkan keyakinan itu, setiap infrastruktur baharu dan setiap jalan baharu akan menjadi neutral karbon dari awal. Jika kerajaan memutuskan mobiliti akan berdasarkan tenaga boleh diperbaharui, kewujudan kereta elektrik, bas elektrik dan trem elektrik dapat direalisasikan.

Dalam pada itu, Reuters melaporkan bahawa Jokowi pada bulan lalu melancarkan pembinaan beberapa projek di Nusantara termasuk lapangan terbang, lebuh raya tol, hospital hingga hotel.

Lapangan terbang seluas 347 hektar dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Disember 2024, kata Jokowi, dengan kos keseluruhan sebanyak 4.2 trilion rupiah (AS$263 juta/ kira-kira RM1.025 bilion).

"Saya yakin pembinaan lapangan terbang ini akan meningkatkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi, serta mempercepat pembangunan ibu kota baru," kata Jokowi di acara pecah tanah lapangan terbang itu.

Kerajaan Indonesia juga menetapkan sasaran pengoperasian hospital antarabangsa pada separuh kedua tahun 2024, yang dibina oleh rangkaian hospital Indonesia, Mayapada (SRAJ.JK).

Pada lawatannya itu juga, Jokowi memeriksa kerja pembinaan lebuh raya tol sepanjang 57 kilometer yang menghubungkan ibu negara baharu itu dengan Balikpapan, yang dijangka boleh digunakan mulai Jun tahun depan.

Pembangun hartanah Indonesia, Pakuwon Jati (PWON.JK), sedang membina sebuah hotel, blok apartmen, dan pusat beli-belah.

Sebuah konsortium syarikat Indonesia seperti firma tenaga Adaro (ADRO.JK) dan Barito Pacific (BRPT.JK), konglomerat Astra International (ASII.JK), dan firma hartanah Agung Sedayu Grup, melabur kira-kira 20 trilion rupiah (kira-kira RM6 bilion) di Nusantara.

Kerajaan berharap untuk mula memindahkan kira-kira 1,800 penjawat awam ke bandar baharu itu menjelang 2024, apabila penggal kedua dan terakhir Jokowi berakhir.

Disiarkan pada: December 17, 2023 @ 7:01am
d