mutakhir

Polis jawab dakwaan 'layanan' kepada pegawai kanan polis

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis menafikan bersikap 'double standard' berhubung layanan terhadap pegawai kanan polis yang dituduh membunuh pelajar berusia 17 tahun ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kawalan ketat terhadap tertuduh di mahkamah demi menjaga keamanan dan ketenteraman awam di kawasan mahkamah susulan kes terbabit menarik perhatian umum secara meluas.

Menurutnya, kawalan terbabit adalah prosedur biasa sebagaimana pesalah lain yang menghadapi perbicaraan mahkamah membabitkan kes yang menarik perhatian ramai.

"Malah, kita (polis) tak anggap pun kes ini sebagai kes berprofil tinggi. Dia (tertuduh) sebagaimana pesalah biasa. Cuma ianya menarik perhatian, justeru bila menarik perhatian sebegini kita perlu ada kawalan yang ketat.

"Jadi tidak ada isu 'double standard'. Sepertimana kita tahu ia seperti pesalah yang lain. Maksudnya 'escort' (iringan) dari balai kemudian dibawa ke mahkamah dan dihadapkan kepada hakim. Jadi itu proses biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu berkunjung ke kediaman keluarga Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie di Taman Chepor Sentosa, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Johari Kassim.

Katanya, tertuduh Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kini ditahan di Penjara Taiping sementara menunggu sebutan semula kes yang ditetapkan pada 7 Februari depan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan dikawal ketat sewaktu dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, untuk berdepan dengan pertuduhan.

Kawalan ketat luar daripada kebiasaan itu menimbulkan persoalan mengenai layanan 'double standard' dalam kalangan kira-kira 30 pengamal media yang hadir.

Rata-rata pengamal media menyifatkan liputan kes itu tidak dapat dilakukan seperti biasa sebagaimana pesalah lain yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

Tertuduh langgar pelajar diberi 'layanan' berbeza daripada kebiasaan

Disiarkan pada: December 18, 2023 @ 4:40pm
d