mutakhir

Lebih 80,000 orang Malaysia 'masuk' Thailand sejak Jumaat lalu

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Lebih 80,000 pelancong dari negara ini bercuti ke Thailand sehingga menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam sejak Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, kesesakan luar biasa berlaku berikutan musim cuti sekolah, cuti umum dan cuti hujung minggu.

Menurutnya, sejak cuti sekolah bermula Jumaat lalu, seramai 78,301 pengembara didapati keluar masuk menggunakan laluan ICQS Bukit Kayu Hitam, manakala 4,379 melalui ICQS Kota Putra untuk bercuti di Thailand.

"Kesesakan ini berlaku disebabkan orang ramai ingin menghabiskan waktu cuti bersama keluarga.

"Destinasti pilihan pengembara ini adalah ke Hadyai, Thailand yang menjadi 'syurga makanan' untuk pelancong dari negara ini yang dikatakan lebih murah dan sedap.

"JIM Kedah sentiasa bersedia menerima kedatangan pelancong dengan membuka empat hingga enam kaunter untuk kereta bergantung kepada kesesakan pada waktu itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesesakan dijangka akan terus meningkat sepanjang musim cuti sekolah dan cuti sambutan Krismas, hujung minggu ini.

"Justeru, saya menasihatkan semua penggembara supaya merancang waktu perjalanan dan menyemak dokumen perjalanan terlebih dahulu untuk mengelakkan kesulitan," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2023 @ 2:26pm
d