mutakhir

Restoran jual sotong manis RM50 dikenakan tindakan

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah mengambil tindakan terhadap sebuah restoran di bandar raya ini, hari ini yang didakwa menjual lauk sotong manis pada harga RM50.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa, KPDN Sabah Zulfamy Mat Udi berkata, premis berkenaan dikenakan tindakan dan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana meletakkan harga mengelirukan serta tidak jelas.

Katanya, premis itu turut diberi Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Ia bagi mendapatkan maklumat berhubung harga makanan berkenaan dan diminta untuk memberi maklum balas dalam tempoh dua hari.

"Tindakan juga diambil mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan siasatan masih dijalankan sementara menunggu maklum balas daripada peniaga terbabit," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Zulfamy berkata, berdasarkan pemeriksaan, premis berkenaan ada menunjukkan tanda harga bagi setiap makanan dan minuman yang dijual termasuk sotong manis.

Bagaimanapun, katanya, KPDN menasihatkan pemilik premis supaya memaklumkan harga dengan lebih jelas dari segi saiz sotong manis berkenaan.

"Sebagai contoh, berapa harga untuk sotong manis saiz kecil, sederhana dan besar. Penandaan harga lebih khusus untuk mengelakkan kekeliruan pengguna.

"KPDN juga menasihatkan orang ramai supaya bertanya terlebih dahulu kepada peniaga atau menyemak senarai harga yang dipamerkan sebelum mengambil makanan, bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial berhubung kenyataan seorang pengguna yang mendakwa terkejut dengan harga lauk sotong yang mencecah RM50.

Disiarkan pada: December 20, 2023 @ 9:26pm
d