mutakhir

Cadangan bina terowong atasi banjir termenung akan dibincang

Oleh Siti Rohana Idris

Pasir Mas: Cadangan pembinaan terowong pada benteng Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, di sini yang dianggap menyelesaikan masalah banjir termenung akan diutarakan kepada kerajaan pusat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, terdapat banyak rungutan daripada mangsa banjir di kawasan terbabit mendakwa banjir termenung yang merosakkan kediaman berpunca daripada air yang tidak dapat mengalir kerana halangan pembinaan projek berkenaan.

"Banjir termenung sebenarnya berpunca dari (pembinaan) benteng jadi kita kena bincang dengan (kerajaan) pusat macam mana untuk tidak membiarkan air terperangkap lama.

"Mungkin (bahagian) teknikal kena tengok lah, kita pun faham benteng ini belum siap sepenuhnya tapi setiap tahun penduduk kampung terbabit berdepan situasi sama.

"Untuk cadangan buat terowong pula, kalau itu adalah penyelesaian, kita minta buatlah. Kita bukan nak lari dari banjir kerana tahu ia sentiasa berlaku tapi sekarang ini sangat luar biasa," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan banjir termenung di daerah ini membabitkan 10 kampung antaranya Kampung Tersang, Bendang Perol, Gual To'Deh, Kusar, Padang Licin, Luar dan Tasek Bakong.

Selain mencadangkan pembinaan terowong, penduduk juga meminta ditambah pintu air kerana yang sedia ada masih tidak dapat menampung aliran beberapa sungai, termasuk empangan Bukit Kwong serta sungai dari Tanah Merah.

Terdahulu Mohd Nassuruddin melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang, di sini.

Beliau berkata gelombang kali ketiga ini dilihat lebih besar berbanding dua gelombang terdahulu dan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak menjadikan banjir sebagai pesta.

"Kita melihat banjir di Pasir Mas kali ini agak luar biasa dan apabila memasuki gelombang ketiga, bermakna sudah tiga kali penduduk berpindah dan berdepan dengan kerosakan kediaman serta harta benda.

"Kita nasihatkan agar penduduk yang terbabit dengan kawasan banjir sentiasa berwaspada dan saya difahamkan majoriti mangsa di lokasi dinaiki air sudah berpindah ke PPS bagi mengelakkan keadaan semakin tidak terkawal," katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2023 @ 5:04pm
d