mutakhir

JKDM digesa lebih munasabah pertukaran drastik pegawai

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Kepimpinan tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diminta supaya mengkaji semula arahan perpindahan yang dikeluarkan secara drastik membabitkan sejumlah besar pegawai jabatan itu.

Ia susulan perintah perpindahan membabitkan sejumlah pegawai JKDM yang diarahkan berpindah merentas negeri termasuk pegawai yang hampir pencen.

Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM), Abdul Malik Mohamed Zin berkata, arahan pertukaran itu bercanggah dengan keputusan Majlis Mesyuarat Tertinggi (MBJ) bersama ketua pengarah sebelum ini.

"Mereka tidak boleh membuat rayuan dan terpaksa membuat pilihan sama ada berhenti kerja atau pencen awal (bagi yang layak).

"Bayangkan ada pegawai yang lagi dua tahun nak pencen selepas berpuluh tahun berkhidmat dan di akhir perkhidmatan kena kes begini.

"Arahan perpindahan drastik ini menjadikan suasana kerja menjadi sangat tidak menggembirakan," katanya sidang di ibu pejabat KPKSM di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden KPKSM Sarawak, Othman Mohamad Suhaili dan Presiden KPKSM Sabah, Ibrahim Bali.

Menurutnya, menerusi MBJ sebelum ini pucuk pimpinan terdahulu bersetuju untuk hanya melakukan pertukaran secara dalam negeri berikutan perpindahan merentas sempadan akan memakan kos tinggi dan membebankan pegawai.

Abdul Malik mendakwa, arahan pertukaran yang bersifat muktamad itu sebagai salah satu cara untuk mendiamkan suara persatuan berikutan beliau yang bertugas di Perak sejak 20 tahun lalu turut ditukarkan ke Lawas, Sarawak tanpa alasan munasabah.

Katanya, pertukaran itu memberi kesan dari segi emosi dan kewangan pegawai kerana membabitkan kos perpindahan tinggi ke lokasi baharu khususnya di kawasan yang tidak disediakan kuarters atau sudah penuh.

"Pegawai terbabit terpaksa menanggung kos tinggi berikutan perlu membayar ansuran bulanan rumah yang sudah dibeli dan pada masa sama perlu mencari rumah sewa.

"Arahan pertukaran besar-besaran ini diambil tanpa mengambil kira kebajikan pegawai terbabit malah perintah pertukaran adalah muktamad dan tidak dibenarkan sebarang rayuan," katanya.

Menurutnya, KPKSM yang mewakili kira-kira 5,600 ahli seluruh Malaysia sedia maklum berkenaan garis panduan membabitkan arahan pertukaran pegawai yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Ceraian UP.2.2.1 Panduan Pertukaran Pegawaidan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023.

Bagaimanapun, JKDM selama ini mengamalkan pertukaran pegawai mandatori membabitkan bahagian-bahagian jabatan itu dalam sesebuah negeri dan tidak membabitkan perpindahan merentas sempadan kecuali atas permohonan pegawai berkenaan.

"Struktur pentadbiran JKDM setiap negeri mempunyai cabang yang terbahagi kepada beberapa bahagian utama antaranya penguatkuasaan, pematuhan, perkastaman, cukai dalam negeri dan lain-lain bahagian.

"Setiap bahagian terbahagi kepada cawangan dan seterusnya unit-unit kecil dan pusingan kerja mandatori ini diamalkan dari dahulu dan tidak timbul keperluan menukar pegawai merentas negeri," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta pucuk pimpinan JKDM untuk mengkaji semula arahan pertukaran itu yang didakwa dikeluarkan tanpa sebab munasabah.

Disiarkan pada: December 28, 2023 @ 5:38pm
d