mutakhir

Kematian wanita di samping bangkai kucing tiada unsur jenayah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Wanita warga emas yang ditemui meninggal dunia di rumahnya di Kampung Kerdas di sini, kelmarin di samping bangkai seekor kucing tidak mempunyai berunsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mayat wanita itu ditemui di ruang tamu rumah yang diduduki sendirian.

Beliau turut mengesahkan jiran warga emas terbabit iaitu lelaki berusia 47 tahun menghubungi polis dan bomba untuk bantuan selepas dia tidak keluar rumah selama lima hari.

"Pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menjalankan pemeriksaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, semakan mendapati mangsa mempunyai sejarah penyakit kencing manis, asma dan tulang belakang sejak beberapa tahun lalu, serta pernah menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, penduduk menemukan mayat wanita warga emas bersebelahan bangkai kucing kesayangannya di ruang tamu rumah.

Ketua Kampung yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kerdas, Nasaruddin Mohd Darwis berkata, menerima panggilan daripada jiran wanita itu pada jam 6.45 petang.

Beliau meminta bantuan polis dan bomba untuk membuka pintu rumah yang berkunci sebelum menemukan mayat mangsa di ruang tamu rumah.

Disiarkan pada: December 28, 2023 @ 6:28pm
d