mutakhir

Harraz tak sempat sediakan cromboloni untuk keluarga

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Kanak-kanak lelaki, Muhammad Harraz Ilman Mohd Shahril Redhuan, 11, yang ditemukan lemas di Sungai Tok Hakim, di sini, tidak sempat menyediakan hidangan istimewa untuk ahli keluarganya.

Ibu saudara murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besar, Nor Ashikin Alias, 51, berkata, arwah anak saudaranya seorang yang gemar memasak dan menjadi aktiviti harian sepanjang cuti persekolahan.

Katanya, Muhammad Harraz Ilman yang manja dengan panggilan Harraz merancang untuk membuat hidangan pastri 'cromboloni' untuk ahli keluarganya hari ini.

Malah katanya, semua senarai bahan yang diperlukan untuk menyediakan menu berkenaan sudah tersedia.

Namun, keluarga tidak sempat menikmati menu 'air tangan' arwah apabila anak kedua daripada tiga beradik itu lemas ketika bermain air bersama adiknya dan seorang lagi rakannya di Sungai Tok Hakim, Kampung Tok Hakim, Padang Midin, di sini, semalam.

"Saya sangat rapat dengannya, Harraz seorang kanak-kanak yang bijak serta banyak bercakap walaupun dia berstatus orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran atau disleksia.

"Kami sering bertanya khabar menerusi panggilan video dan setiap kali berhubung, Harraz sentiasa bercerita mengenai makanan atau masakan kerana itu memang hobinya," katanya ditemui ketika mengiringi jenazah arwah untuk disembahyangkan di Masjid Kolam, Kuala Ibai, di sini.

Nor Ashikin yang tinggal di Puchong, Selangor berkata, dia juga tidak menyangka kepulangan ke kampung halaman adalah bagi menghadiri majlis pengebumian anak saudaranya itu.

"Saya sempat membeli buah tangan iaitu beberapa helai baju baharu kepada Harraz dan dua beradiknya untuk diberikan sempena cuti persekolahan ini namun Allah lebih sayangkan dia," katanya.

Sementara, bapa saudara mangsa, Kamarul Irwan Alias, 43, berkata, dia yang bekerja sebagai penjawat awam dan tinggal di Greenwood, Gombak, Selangor tiba 8 pagi hari ini selepas dihubungi adik iaitu bapa arwah, Mohd Shahril Redhuan Alias, 41.

Menurutnya, ibu arwah, Zarina Ahmad, 41, tidak menyangka lokasi anaknya lemas kira-kira lebih satu kilometer dari rumah sewanya di Kampung Tok Hakim.

"Ibu arwah terkejut kerana Harraz dan adiknya tidak pernah ke kawasan itu, malah ketika kejadian arwah Harraz hanya memberitahu ibunya mahu mandi hujan di kawasan rumah," katanya.

Kamarul Irwan berkata, dia mewakili keluarga arwah mengucapkan terima kasih kepada semua agensi penyelamat, pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung yang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Dalam kejadian 4.20 petang semalam, Muhammad Harraz Ilman dikatakan tergelincir ketika bermain air bersama adiknya, Muhammad Firas Wafiy, 9, dan seorang rakan mereka, Wais Alqarni Mahadi, 12, sebelum dihanyutkan arus deras.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan jam 11 pagi tadi di dasar sungai pada kedalaman 1.5 meter pada jarak 30 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.

Disiarkan pada: December 28, 2023 @ 7:42pm
d