mutakhir

Boleh kongsi e-LKM guna aplikasi MyJPJ

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan orang awam kini boleh membuat perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) atau digital road tax menggunakan fungsi baharu iaitu 'Kongsi LKM' di aplikasi MyJPJ, bermula hari ini.

Menterinya Anthony Loke berkata, melalui fungsi baharu itu pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM kepada ahli keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan.

"Pemilik hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang 'Kongsi LKM' untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain.

"Fungsi ini juga mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM tersebut untuk mengaktifkan perkongsian.

"Sistem juga akan menghapuskan rekod perkongsian sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam," katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan ke JPJ Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, fungsi baharu dalam aplikasi MyJPJ berkenaan dapat menyelesaikan persoalan apabila pengguna e-LKM memandu kenderaan bukan miliknya atau ahli keluarga.

Katanya, sebelum ini orang awam dibenarkan untuk mencetak e-LKM berkenaan bagaimanapun pelbagai persoalan timbul justeru, penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna.

Disiarkan pada: January 2, 2024 @ 12:31pm
d