mutakhir

KPKT tegas batalkan lesen premis perniagaan beri sewa kepada warga asing

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan akan membatalkan lesen pemilik yang menyewakan premis perniagaan kepada warga asing.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata kerajaan sentiasa konsisten untuk membela keselamatan dan kesejahteraan masyarakat tempatan.

Sehubungan itu katanya, KPKT menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada warga asing untuk membuka premis perniagaan di negara ini.

"Dalam hal ini (premis yang disewa warga asing) tindakan undang-undang sedang dilakukan melalui operasi penguatkuasaan.

"Apabila kita syak berlaku salah guna premis atau lesen dikeluarkan PBT maka lesen terbabit akan dibatalkan. Jangan lupa salah satu prinsip rukun negara iaitu kita kedaulatan undang-undang," katanya.

Beliau sebelum itu ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Rekabentuk Pembinaan Pasar Awam Bukit Mertajam di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini, hari ini.

Untuk rekod, PBT melaksanakan 1,539 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan membabitkan warga asing bagi 2022 hingga 31 Oktober lalu.

Sehingga kini, sebanyak 26,108 lesen peniaga dibatalkan atas sebab pelanggaran syarat-syarat lesen atau premis yang dibuat oleh PBT.

tamat

Disiarkan pada: January 4, 2024 @ 3:09pm
d