mutakhir

'Meskipun hidup susah saya tetap utamakan Nur Dhia Qarlisa'

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Biarpun berdepan ujian perlu menjaga anak menghidap Cerebral Palsy (CP) sejak lahir, namun ibu tunggal ini tetap tabah mengharungi dugaan itu selepas kematian suaminya lapan tahun lalu.

Norziana Che Daud, 37, menjaga anak kedua, Nur Dhia Qarlisa Mohd Al Muizzu, 11, bagai menatang minyak yang penuh malah tidak pernah membezakan kasih sayang dengan dua lagi anaknya yang berusia 10 dan 15 tahun.

Katanya, selepas suaminya, Mohd Al Muizzu Ismail meninggal dunia pada 2015 akibat serangan jantung, dia hanya mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 selain sumbangan daripada ahli keluarga dan saudara mara terdekat untuk membeli keperluan Nur Dhia Qarlisa serta perbelanjaan persekolahan dua anaknya.

"Saya tidak dapat keluar mencari rezeki kerana perlu menguruskan Nur Dhia Qarlisa yang menghidap CP dan memerlukan sepenuh penjagaan serta perhatian.

"Meskipun hidup susah, namun saya tetap akan mengutamakan keperluan Nur Dhia Qarlisa dan sesekali tidak akan mengabaikannya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Mia.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada Ketua Unit Media dan Komunikasi Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) Akidi Hamid.

Norziana berkata, Nur Dhia Qarlisa dilahirkan secara pembedahan ketika kandungan berusia tujuh bulan dan selama sebulan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

"Selepas sebulan dilahirkan, doktor memberitahu Nur Dhia Qarlisa mempunyai simptom CP dan pada ketika itu saya dan arwah suami sudah reda, namun apa yang penting akan menjaga anugerah yang diberikan Allah SWT ini sebaik yang mungkin.

"Penyakit CP yang dihidapi juga menyebabkan anak saya tidak boleh bercakap selain tidak boleh berjalan dan segala keperluannya perlu diuruskan termasuk memberi makan, minum serta memandikannya," katanya.

Norziana berkata, menjaga serta mempunyai seorang anak yang menghidap penyakit saraf cukup menguji ketabahan serta kesabaran berikutan anak istimewa itu memerlukan penjagaan khusus.

"Saya sedar hakikat yang ditakdirkan Allah SWT apabila anak saya hanya berbaring di tilam selain tidak boleh bercakap dan hanya menggunakan isyarat mata atau menangis jika dia hendakkan sesuatu," katanya.

Katanya, setiap bulan dia perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM600 untuk membeli keperluan Nur Dhia Qarlisa termasuk lampin pakai buang dan susu formula.

"Pada masa sama, saya perlu berulang sejauh 80 kilometer dari rumah ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai setiap bulan untuk membawa Nur Dhia Qarlisa menjalani rawatan fisioterapi dan setiap tiga bulan sekali perlu menghadiri temujanji berjumpa pakar bagi mengetahui perkembangan tahap kesihatannya," katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Islam bernombor 03-072-02-218034-8 atas nama Norziana Che Daud atau boleh menghubunginya di talian 018-9007477.

Disiarkan pada: January 5, 2024 @ 12:01pm
d