mutakhir

Kuarters dikosongkan susulan tanah mendap

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Bangunan kuarters empat tingkat Sekolah Kebangsaan Bandar 2 Paloh Hinai, Pekan diarah untuk dikosongkan susulan kejadian tanah mendap.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, berikutan ituseramai lapan keluarga membabitkan 24 penghuni dipindahkan sementara ke asrama sekolah berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan laporan, pihaknya menerima makluman daripada pihak sekolah berlaku tanah mendap berhampiran kuarters terbabit pada 8.55 pagi tadi.

"Bangunan kuarters telah dikosongkan oleh semua penghuni sebagai langkah keselamatan dan semua penghuni dipindahkan sementara di asrama sekolah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengarahkan semua penghuni yang tinggal di kuarters terbabit mengosongkan bangunan berkenaan.

Katanya, pemasangan papan tanda amaran dan pita penghadang amaran diletakkan di lokasi kejadian bagi memberi amaran kepada orang awam.

"Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa oleh JKR Pekan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di kawasan terbabit.

"JKR turut memaklumkan penyiasatan tanah dan tapak oleh Bahagian Struktur dan Cerun secara terperinci akan dibuat bagi tujuan pembaikan kawasan mendapan," katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2024 @ 5:47pm
d