mutakhir

Peguam Najib minta pendakwaan ambil tindakan penyiaran dokumentari 'Man On The Run'

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Peguam bela Datuk Seri Najib Razak memohon pihak pendakwaan mengambil tindakan segera dengan mengarahkan perkhidmatan penstriman Netflix mengeluarkan dokumentari 'Man On The Run' yang sedang ditayangkan di negara ini.

Man on the Run ialah dokumentari yang diarahkan, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim, berkisar skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditayangkan di negara ini pada 19 Oktober tahun lalu.

Ia turut memaparkan temubual Najib yang menafikan pembabitan dalam skandal terbabit, selain temu bual dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu adalah sangat subjudis terhadap anak guamnya kerana perbicaraan 1MDB sedang berjalan, dan pendakwaan terikat dengan tanggungjawab untuk mengambil tindakan segera.

Muhammad Shafee berkata, apa yang lebih serius lagi adalah, Tommy turut membuat kesimpulan sendiri berhubung kes itu di luar mahkamah, dalam dokumentari berkenaan.

Peguam itu turut melahirkan rasa terkejut kerana pegawai penyiasat sendiri tidak tahu berkaitan dokumentari terbabit.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, beliau hanya mengetahui mengenainya dan perlu menonton dokumentari berkenaan terlebih dahulu, sebelum melaporkan kepada Peguam Negara dan mendapatkan arahan lanjut.

Ahmad Akram berkata, pihak pembelaan juga perlu menulis surat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Muhammad Shafee berkata, beliau akan menulis surat kepada kedua-dua agensi itu secepat mungkin.

Kata Muhammad Shafee lagi, beliau juga akan memfailkan permohonan untuk meneruskan prosiding pengkomitan (menghina mahkamah) terhadap bekas Peguam Negara selain tindakan saman terhadap Clare Rewcastle-Brown.

Disiarkan pada: January 8, 2024 @ 1:06pm
d