mutakhir

Positif dadah, nekad langgar polis untuk lolos

Oleh Ahmad Hasbi

Rembau: Rahsia empat individu termasuk seorang wanita yang nekad melarikan diri, malah berani merempuh kereta peronda polis (MPV) terbongkar apabila dua daripada mereka didapati positif dadah.

Dalam kejadian dekat Kota di sini, pada 12 tengah hari itu, kereta dinaiki mereka itu terbabas ke belukar ketika usaha melarikan diri sebelum polis menahan seorang wanita, manakala tiga lagi menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati MPV dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau membuat rondaan di hadapan Masjid Penajis, Kota dan cuba menahan sebuah Proton Wira untuk pemeriksaan.

"Tiba-tiba kereta itu terus memecut ke arah Kampung Relong Penajis lalu sampai di hujung jalan kampung dan dapati ia adalah jalan mati.

"Pemandunya membuat pusingan U dan dalam masa sama seorang anggota keluar dari kenderaan untuk menahan Proton Wira supaya berhenti, namun dikatakan cuba melarikan diri dengan merempuh polis cuba menahannya," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan anggota yang dilanggar itu terjatuh, manakala Proton Wira terbabit terbabas masuk ke tebing sebelah kiri jalan.

"Pemandu Proton Wira serta dua lelaki keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke arah belukar.

"Seorang wanita berusia 31 tahun dapat ditangkap dan dibawa ke IPD Rembau untuk siasatan lanjut.

"Tidak lama kemudian, seorang lagi suspek lelaki ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis.

"Kedua-dua suspek itu didapati positif dadah, namun pemeriksaan tidak menemui bahan terlarang berkenaan," katanya.

Menurutnya, dua lagi suspek masih lagi diburu dengan seorang daripadanya sudah dikenal pasti identiti.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2024 @ 2:24pm
d