mutakhir

Pusat rehabilitasi Perkeso ketiga di Terengganu

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Petaling Jaya: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan membina pusat rehabilitasi yang ketiga di Terengganu, tahun ini selepas Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pembinaan itu menjadikan keseluruhan tiga pusat rehabilitasi kendalian Perkeso di negara ini termasuk satu di Melaka.

"Buat masa ini pusat rehabilitasi sedia ada hanya di Melaka yang kita beri khidmat kepada seluruh pencarum dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Insya-Allah pusat rehabilitasi kedua dalam pembinaan di Perak dan dijangka akan beroperasi bermula awal tahun 2025.

"Kita juga bersyukur kerana Tuanku Sultan Terengganu berkenan mengurniakan sebidang tanah untuk kita bangunkan sebuah pusat rehabilitasi di pantai timur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas hari ini.

Kunjungan rasmi Mohammed Azman bersama pengurusan tertinggi Perkeso disambut pengurusan tertinggi MPB diketuai Pengerusi Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Mengenai lawatannya, Mohammed Azman berkata, ia bertujuan meningkatkan jalinan kerjasama bersama MPB dalam menyampaikan maklumat kepada pencarum Perkeso dan rakyat.

"Pada hari ini kalau kita lihat Perkeso telah meningkatkan usaha dengan menambah beberapa khidmat dan faedah yang disediakan di bawah empat akta sedia ada.

"Tetapi masih lagi ramai pencarum dan rakyat di luar sana tidak sedia maklum tentang faedah yang boleh mereka peroleh," katanya.

Menurutnya, peningkatan jalinan kerjasama itu termasuklah berkaitan pusat khidmat rehabilitasi yang ada di Melaka.

"Masih ramai lagi rakyat dan pencarum tidak sedia maklum bahawa kita menyediakan khidmat rehabilitasi untuk memulihkan mereka yang mengalami kemalangan, kecederaan dan hilang upaya

"Ia bagi membolehkan pencarum ini untuk berdikari dan meneruskan kehidupan mereka," katanya.

Selain itu, katanya, jalinan kerjasama ini juga adalah bagi membantu mereka yang sebenarnya layak mendapat faedah tetapi tidak sedia maklum mengenainya.

Beliau dalam masa sama turut berharap lebih ramai pihak menyertai rakan sinergi Perkeso bagi membantu pencarum dan waris dalam membuat tuntutan.

Disiarkan pada: January 9, 2024 @ 2:21pm
d