mutakhir

Buat tuntutan palsu Perkeso kerana tiadanya pencen warga tua

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Petaling Jaya: Peningkatan jumlah individu yang membuat tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berpunca daripada sistem keselamatan sosial yang tidak mempunyai pelan jangka masa panjang seperti pencen warga tua.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ada antara individu menggunakan kesempatan itu kerana skim keselamatan sosial untuk mereka bersara tidak ada di negara ini.

Sebaliknya Mohammed Azman berkata, yang ada untuk mereka adalah simpanan di bawah skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Mereka cuma ada simpanan di bawah skim KWSP yang mana simpanan diperolehi sekali gus apabila bersara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas, hari ini.

Terdahulu, MPB menerima kunjungan rasmi Mohammed Azman bersama pengurusan tertinggi Perkeso.

Ketibaan Mohammed Azman disambut pengurusan tertinggi MPB diketuai Pengerusi Kumpulan, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Sebelum ini dilaporkan seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Selayang atas pertuduhan membuat tuntutan palsu Perkeso semasa mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

Lelaki berusia 60 tahun itu dikesan melakukan perbuatan itu lapan tahun lalu bagi tujuan mendapatkan Faedah Pencen Ilat lebih RM137,000.

Mohammed Azman berkata, antara pendekatan yang dilakukan oleh Perkeso bagi mengatasi perkara itu adalah daripada segi jangka pendek dan jangka panjang.

"Pendekatan jangka pendek yang kita lakukan ialah memberi pendidikan kepada pencarum jika mereka benar-benar layak, mereka boleh membuat tuntutan.

"Tetapi jangan menggunakan maklumat laporan palsu dan situasi yang mengelirukan doktor kerana ini adalah duit pencarum dan keseluruhan pekerja mencarum dalam satu tabungan.

"Bagi mereka yang benar-benar layak, doktor yang menentukan sama ada mereka akan dapat," katanya.

Daripada segi pendekatan jangka panjang katanya, adalah untuk mewujudkan pencen warga tua, selain pencen ilat Perkeso tidak seharusnya dijadikan sandaran oleh pencarum sebagai jaringan keselamatan selepas bersara.

"Pencen ilat adalah kepada mereka yang betul-betul layak, jika mereka lumpuh atau tidak mampu bekerja atas dasar kesihatan dan sebagainya.

"Ini antara pendekatan yang kita fikirkan boleh kita lakukan untuk jangka pendek dan panjang bagi melihat kepada tuntutan palsu ini," katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2024 @ 3:18pm
d