mutakhir

Perlis wajib tulisan jawi pada papan tanda

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Kerajaan Perlis akan mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada setiap papan tanda premis perniagaan di negeri itu bermula 1 Februari hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri Asrul Aimran Abd Jalil berkata, penguatkuasaan turut membabitkan papan tanda iklan atau 'billboard' serta papan tanda jalan di taman perumahan.

"Kerangka garis panduan terhadap penguatkuasaan berkenaan berada pada fasa terakhir untuk dimuktamadkan, namun ketetapan sudah pun dibuat.

"Bermula 1 Februari akan datang, kita akan mewajibkan setiap papan tanda premis perniagaan serta iklan di negeri ini mempunyai tulisan jawi.

"Kewajipan ini membabitkan permohonan baru mana-mana premis perniagaan yang mahu menaikkan papan tanda yang baharu tanpa mengganggu papan tanda iklan sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kerajaan Negeri, di sini, semalam.

Menurutnya, penguatkuasaan langkah berkenaan adalah usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan dan mendedahkan tulisan berkenaan kepada semua lapisan masyarakat.

"Perkara ini sebenarnya sudah diwarwarkan oleh Menteri Besar (Mohd Shukri Ramli) dalam usaha untuk menghidupkan tulisan jawi kepada masyarakat supaya ia lebih dikenali sebagai satu bentuk tulisan asal di negara ini yang sudah sekian lama digunakan.

"Selain itu, ramai generasi hari ini tidak begitu tahu tulisan jawi ini. Jadi ini juga adalah usaha untuk mendedahkan semula tulisan ini dan menambah pengetahuan mereka," katanya.

Sementara itu, tinjauan sekitar Kangar mendapati sebuah kedai menjual motosikal sudah meletakkan tulisan jawi pada papan tanda mereka.

Selain Perlis, negeri Kelantan, Kedah, Pahang dan Melaka sudah memulakan langkah memperkasakan tulisan jawi pada setiap papan tanda premis perniagaan serta iklan di negeri masing-masing sebelum ini.

Disiarkan pada: January 10, 2024 @ 9:36am
d