mutakhir

Pekedai caj RM20 sepiring ayam goreng kunyit

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Seorang individu terkejut apabila dicaj RM20 untuk hidangan sepiring ayam goreng kunyit di sebuah kedai makan di Pantai Chenang, di sini.

Berdasarkan resit yang dimuat naik seorang pengadu di laman sosial dikenali sebagai 'Hada Jais', harga yang dikenakan bagi ayam goreng kunyit ialah RM20, RM3 untuk nasi putih RM3 dan RM1 untuk air kosong dengan harga keseluruhan makanan dipesannya RM24.

"Patutlah orang luaq (luar) kata Langkawi mahai (mahal), hampa (kamu) rasa baloii (sepadan) ka kena harga camni? nasi putih RM3, ayam goreng kunyit bodoh camtu saja sorang makan RM20, ais kosong RM1 naya kena RM24,

"Tu gambaq (gambar) kedai aku dah snap (ambil) tengoklah kat mana area Chenang jangan hampa (kamu) terkena sudah," katanya dalam hantaran di Facebook yang kini tular.

Resit itu tular di media sosial sejak semalam.

Pada masa sama, pengadu terbabit meminta netizen jangan mengecamnya kerana membuat hantaran itu di media sosial susulan rasa tidak puas hati dengan harga yang dikenakan untuk sepiring ayam goreng kunyit dipesannya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah Affendi Rajini Kanth berkata, isu ini sudah sampai ke pengetahuan KPDN dan siasatan sedang dijalankan.

"Saya sudah arahkan penguat kuasa membuat siasatan dan jika ada kes, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya dihubungi, hari ini.

Disiarkan pada: January 15, 2024 @ 1:50pm
d