mutakhir

Pusat Rehabilitasi PERKESO, `selamatkan' ramai pekerja

Oleh Lydia Saiful

Kuala Lumpur: Seramai 15,214 pekerja dikalangan pencarum serta bukan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini berupaya membina kerjaya semula hasil bantuan Pusat Rehabilitasi PERKESO.

Rata-rata mereka diberikan bantuan intensif dan menjalani pemulihan akibat terbabit kemalangan atau sakit ketika bertugas.

Pendekatan dilakukan PERKESO ini tidak hanya memberi perlindungan dalam bentuk pampasan namun perlindungan lebih menyeluruh termasuk rehabilitasi bagi membolehkan golongan pekerja ini dapat berdikari, berintegrasi dalam masyarakat dan seterusnya kembali bekerja menerusi pemulihan fizikal dan vokasional.

Terletak di kawasan seluas 55 ekar dengan kemudahan fasiliti 381 katil, pusat Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di sini, yang mula beroperasi pada 1 Oktober 2014, sudah berjaya membantu seramai 15,214 individu.

Sebahagian besar mereka mengalami kecederaan seperti strok, masala muskuloskeletal, kecederaan saraf tunjang, kecederaan otak traumatik, dan amputasi anggota badan.

Pusat ini menawarkan perkhidmatan rehabilitasi perubatan, vokasional dan program Return To Work yang komprehensif dan intensif di bawah satu bumbung dan dikendalikan oleh tenaga profesional rehabilitasi pelbagai disiplin.

Perkhidmatan rehabilitasi yang disediakan adalah berasaskan Pengurusan Hilang Upaya yang memberi fokus kepada rancangan rehabilitasi yang komprehensif dan intensif demi mengoptimumkan pemulihan pesakit dan mencapai matlamat untuk kembali bekerja tau berdikari.

Selain itu Program Rehabilitasi Vokasional turut disediakan berdasarkan keperluan pasaran buruh dan menyokong usaha penempatan pekerjaan oleh Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO melalui reskilling dan upskilling.

Antara modul latihan vokasional yang ditawarkan termasuk jahitan, kulinari, pembuatan bakeri dan pastri, barista, dandanan rambut, pengurusan pejabat dan kemahiran komputer, asas keusahawanan, rekaan grafik, elektrik dan elektronik, automotif motosikal, baik pulih telefon bimbit dan kraftangan.

Pusat ini juga menempatkan Klinik Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics yang dilengkapi dengan Robot Suit HAL (Hybrid Assistive Limb), iaitu teknologi neurorobotik dari Cyberdyne Incorporation, Jepun yang menggabungkan interaksi antara manusia, robot dan informasi.

Seiring dengan indikasi 3K iaitu kebajikan pekerja, kemahiran pekerja dan keberhasilan pekerja, penubuhan pusat rehabilitasi ini secara jelas menggambarkan manifestasi Kementerian Sumber Manusia dalam memertabatkan kebajikan golongan pekerja di Malaysia dan akhirnya membantu golongan pekerja terbencana ini untuk berdikari dan berpeluang untuk bekerja semula.

Pusat Rehabilitasi seumpamanya ini juga akan beroperasi di Ipoh sekaligus menjadi cawangan kedua selepas 10 tahun ianya beroperasi secara tunggal.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong baru-baru ini menyarankan PERKESO menubuhkan tiga lagi pusat rehabilitasi baharu dalam tempoh lima tahun akan datang termasuk di Sabah dan Sarawak. Kita nak lihat supaya kita (Perkeso) boleh kembangkan perkhidmatan ini (di seluruh negara).

Disiarkan pada: January 17, 2024 @ 9:41am
d