mutakhir

Pura-pura tanya harga bilik sebelum samun

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Gombak: Pura-pura datang bertanya kadar bayaran untuk menginap sebelum menyamun pekerja di situ.

Itu taktik seorang lelaki dan wanita yang melarikan telefon bimbit milik hotel dan barangan pekerja sebuah hotel di Sri Gombak, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, pekerja hotel wanita berusia 28 tahun didatangi pasangan itu yang memakai topi keledar bertanya harga bilik bagi untuk semalam di hotel itu.

Menurut sumber, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memberitahu harga bilik sebelum tiba-tiba suspek mengeluarkan parang yang disimpan di dalam beg dan mengugut ingin menetak mangsa.

"Suspek kemudian mengambil telefon bimbit milik syarikat dan beg tangan mangsa.

"Mangsa juga diketuk dengan parang itu beberapa kali sebelum suspek melarikan diri," katanya.

Sumber berkata, mangsa yang kesakitan di kepala kemudian membuat laporan di Balai Polis Gombak untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Disiarkan pada: January 17, 2024 @ 4:57pm
d