mutakhir

SPRM sah panggil Mirzan Mahathir, perintah isytihar aset

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah memanggil ahli perniagaan Mirzan Mahathir, semalam bagi membantu siasatan.

Mirzan hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 9.30 pagi, semalam dan satu perintah notis disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Beliau dikehendaki mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya, sama ada dalam atau luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis itu.

Perintah itu adalah tindakan susulan siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM sudah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora, juga Kertas Panama.

Sehingga kini, seramai 10 saksi sudah dipanggil untuk diambil keterangan. SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan itu dan siasatan masih dijalankan.

Disiarkan pada: January 18, 2024 @ 5:39pm
d