mutakhir

Kerajaan digesa tetapkan dasar iktiraf pekerja gig

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Perlu ada dasar yang mengiktiraf pekerja gig sebagai pekerja tetap syarikat supaya golongan itu menerima kadar pendapatan kompetitif.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata, kerajaan perlu menetapkan satu dasar atau garis panduan supaya pekerja gig diiktiraf sebagai pekerja tetap yang membolehkan mereka menikmati pendapatan minimum RM1,500 serta tambahan bayaran untuk lebihan masa bekerja.

"Isu kadar upah rendah pekerja gig ini disebabkan pengklafikasian pekerjaan tu sendiri kerana mereka dianggap sebagai pekerja kontrak yang dibayar upah mengikut jam bekerja sehingga menyebabkan mungkin syarikat boleh mengambil kesempatan apatah lagi persaingan pun kurang dalam industri ini.

"Bagi saya kerajaan harus meletakkan peraturan yang membolehkan pekerja gig diiktiraf sebagai pekerja syarikat itu supaya isu ini tidak berbangkit lagi.

"Maknanya mereka ada minimum jumlah jam berkerja setiap minggu misalnya 40 jam dan jika ini dapat dilakukan mereka dapat RM1,500 dan tambahan bayaran berdasarkan jumlah jam mereka bekerja lebih masa," katanya yang mengulas isu kadar bayaran upah rendah pekerja gig yang masih tiada kesudahan.

Selain itu katanya, pengiktirafan ini juga membolehkan hak dan kebajikan pekerja gig ini dilindungi sama seperti pekerja lain.

"Mereka boleh dilindungi di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain insuran daripada syarikat," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pengiktirafan itu hanya terpakai untuk mereka bekerja sepenuh masa dan tidak tertakluk kepada pekerja sambilan gig.

"Mungkin inisiatif iktiraf ini kepada diberikan kepada mereka yang bekerja sebagai pekerjaan utama iaitu sepenuh masa.

"Tetapi ada juga yang bekerja hanya dua atau tiga jam sehari atau selang beberapa hari jadi mereka yang bekerja sambilan ini, kadar upahnya kekal seperti sedia ada," katanya.

Sebelum ini, tular poster kempen boikot Grab dipercayai dilakukan oleh penunggang p-hailing kerana tidak berpuas hati dengan kadar upah baharu yang ditetapkan syarikat itu.

Grabfood Malaysia menolak dakwaan pihaknya menurunkan kadar upah sebaliknya syarikat itu menyelaraskan bayaran asas dan menaikkan elaun serta insentif penunggang.

Grab Malaysia menjelaskan pihaknya menyusun semula yuran penghantaran dan rangka kerja bonus syarikat itu berkuat kuasa Selasa lalu.

Disiarkan pada: January 20, 2024 @ 7:02am
d