mutakhir

Dua ditahan bergaduh di tempat awam

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Dua lelaki ditahan dipercayai terbabit dalam pergaduhan di tempat awam di Seksyen 28, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata kedua-dua lelaki berusia 19 dan 25 tahun itu ditahan jam 3.36 pagi hari ini.

Beliau berkata, tangkapan itu susulan laporan daripada seorang lelaki berusia 19 tahun yang mendakwa diserang sekumpulan lelaki dikenali ketika berada berdekatan gelanggang bola keranjang, pada Ahad.

Katanya, pada 7.05 petang pada hari sama, polis menerima satu lagi laporan daripada salah seorang suspek yang memaklumkan dia dipukul mangsa sehingga cedera.

"Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada mangsa menghalang salah seorang suspek untuk meneruskan hubungan dengan kakak saudaranya.

"Berikutan itu, polis menahan dua lelaki termasuk pengadu pertama bagi membantu siasatan kes ini.

"Kedua-dua tangkapan turut mempunyai rekod lampau iaitu kes dadah dan jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada mereka berusia 25 tahun positif dadah dan kedua-dua mereka kini direman sehingga Rabu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Syer Aidid di talian 013-6544996," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video tular di laman Facebook yang memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh dengan menggunakan kayu serta parang.

Disiarkan pada: January 22, 2024 @ 11:52pm
d