mutakhir

Ahli KMEK sertai program masuk kampung

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Seramai 30 pengamal media menyertai program Pemukiman Kelab Media Elit Kedah (KMEK) selama dua hari di Inap Desa Sedim, di sini, yang berakhir semalam.

Presiden KMEK, Adie Suri Zulkifli berkata, program julung kali itu diadakan bagi mendekatkan pengamal media dengan masyarakat kampung khususnya pengusaha inap desa di Sedim.

Menurutnya, peringkat pertama program disertai 30 pengamal media, manakala peringkat kedua akan disertai 20 pengamal media pada awal Mac depan.

"Program ini adalah sebagai usaha untuk membantu sektor pelancongan di negeri ini sempena Tahun Melawat Kedah 2025.

"Sepanjang program berkenaan, pengamal media tinggal bersama keluarga angkat masing-masing di inap desa terpilih sekali gus dapat mengetahui serba sedikit cerita mengenai kawasan pelancongan di situ," katanya.

Program itu dirasmikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Dr Nadzman Mustaffa.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk White Water Rafting, memanah serta berjalan di Tree Top Walk sepanjang 925 meter.

Katanya, KMEK berterima kasih kepada pengusaha inap desa di Sedim yang memberi layanan baik serta memberi pengalaman mengujakan kepada pengamal media yang sibuk dengan tugasan.

Disiarkan pada: January 23, 2024 @ 4:02pm
d