mutakhir

Tayar depan pesawat latihan tertanggal ketika mendarat di LTAM

Oleh BERNAMA

Melaka: Tayar depan sebuah pesawat latihan jenis Piper PA-28-181 dilaporkan tertanggal dipercayai akibat gagal mendarat dengan baik di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian pada 3.07 petang itu.

"Pesawat latihan dengan nombor pendaftaran 9M-ITX yang dikendalikan oleh International Aero Training Academy (IATAC) itu dipercayai gagal mendarat dengan baik hingga menyebabkan tayar hadapannya tertanggal.

"Insiden ini melibatkan seorang juruterbang pelatih dan beliau dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata pesawat ringan berkenaan telah dialihkan dari landasan pada 3.35 petang dan dibawa ke hangar berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya lapangan terbang itu kembali beroperasi pada 4.12 petang selepas semua pemeriksaan keselamatan selesai dilakukan.

"Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan berkaitan insiden tersebut petang tadi.

Bagaimanapun, katanya tiada siasatan dibuka oleh polis dan kes berkenaan dirujuk ke agensi berkaitan.

Disiarkan pada: January 23, 2024 @ 10:24pm
d