mutakhir

Mahu balas semula jasa Yayasan Angkasa

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Petaling Jaya: Menubuhkan sebuah koperasi alumni sebagai sumbangan semula kepada Yayasan Angkasa sebagai membalas jasa.

Begitu impian dua daripada 114 pelajar cemerlang yang menerima biasiswa daripada Yayasan Angkasa untuk pengajian mereka.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kepolisan Keselamatan Global dan Perisikan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Rasul Abdullah, 25, berkata rancangan untuk menubuhkan koperasi alumni adalah sumbangannya dalam bentuk kewangan dan tenaga sekiranya diperlukan oleh Yayasan Angkasa.

"Ia sekiranya diperlukan dan itu perancangan saya pada masa akan datang," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Muhammad Rasul berkata demikian pada majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Anugerah Pelajar Cemerlang (Ijazah Kelas Pertama) Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Datuk Ewon Benedick.

Hadir sama, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Seramai 114 pelajar cemerlang dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) menerima biasiswa daripada Yayasan Angkasa membabitkan pembiayaan berjumlah RM795,582.

Mengulas lanjut, Muhammad Rasul yang kini bertugas sebagai pegawai penyiasat di Lembaga Penilai Pentaksir Agen Harta Tanah dan Pengurus Harta Malaysia turut berasa gembira kerana menerima biasiswa penuh berjumlah RM12,000.

"Saya juga bersyukur kerana peluang ini bukan semua orang boleh dapat dan saya akan ingat bila-bila," katanya.

Katanya, semasa belajar sebelum ini, dia menghadapi cabaran dalam pembelajaran kerana negara berhadapan dengan Covid-19 ketika itu.

"Saya belajar secara dalam talian kemudiannya secara fizikal. Perkara itu amat sukar kerana terpaksa membiasakan diri," katanya.

Sementara itu, graduan Teknologi Perkhidmatan Makanan (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia), Amirul Aiman Mohamad, 24, berkata dia turut akan membantu semula Yayasan Angkasa sekiranya diperlukan.

"Antara cara saya akan bantu semula adalah dalam bentuk potongan gaji. Ini disebabkan Yayasan Angkasa sendiri ada memberi peluang kepada bekas pelajar untuk membantu semula," katanya.

Dia yang juga seorang pramugara juga berasa bangga kerana terpilih sebagai salah seorang pelajar yang menerima biasiswa Yayasan Angkasa.

Disiarkan pada: January 28, 2024 @ 3:42pm
d