mutakhir

'Mereka tidak langgar adab Melayu, Islam'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Tindakan tiga individu termasuk dua kanak-kanak yang bersilat dengan lengkap berpakaian tradisi Melayu berhadapan Masjid Nabawi, Madinah dianggap tidak menyalahi etika bahkan ia melambangkan identiti Melayu.

Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Datuk Maideen Kadir Shah yang juga Guru Utama berkata, ia berlaku di luar dan bukannya kawasan dalam masjid.

Beliau berkata, jika mereka mempamerkan perkara baik, ia tidak salah kerana menggambarkan sesuatu yang baik selain melambangkan identiti budaya negara ini.

"Waktu itu bukannya waktu solat dan ia adalah pakaian beradab dan mereka tidak buat perkara yang melanggar adab Melayu dan Islam.

"Jadi apa salahnya kalau kita biar orang bersilat tapi mestilah dengan beradab dan menunjukkan sesuatu yang baik," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Galeri PSSCM di Muzium Negeri Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin selalu Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, satu video tular membabitkan seorang lelaki bersama dua kanak-kanak lelaki bersilat di hadapan Masjid Nabawi dengan lengkap berpakaian tradisi Melayu.

Disiarkan pada: January 28, 2024 @ 8:37pm
d