mutakhir

Polis trafik minta 'Seratus': 3 anggota trafik ditahan, direman 3 hari

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis mengesahkan tiga anggotanya sudah ditahan berhubung video tular anggota trafik meminta wang daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK) bagi menyelesaikan saman kesalahan trafik.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tiga anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang ditahan itu berusia lingkungan 37 hingga 42 tahun.

Menurutnya, mereka direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kejadian yang berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu.

Katanya, tiga anggota itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan atau Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Mohd Yusri berkata, kertas siasatan kes itu diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan dilengkapkan.

"Selain itu, siasatan dalaman juga dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Rakaman video pasangan warga asing itu disaman tular di media sosial dengan menunjukkan anggota trafik terbabit kononnya menawarkan diskaun saman kepada mereka selepas ditahan bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Anggota terbabit mendakwa pasangan berkenaan memandu selaju 80 kilometer sejam (km/j), melebihi had laju di laluan itu iaitu 60 km/j sebelum mengeluarkan saman.

Bagaimanapun, anggota polis itu kemudiannya menawarkan diskaun saman berkenaan daripada RM300 menjadi RM100 jika dibayar terus kepadanya.

Pasangan berkenaan mendakwa keliru dengan tindakan anggota polis terbabit, namun memilih untuk menerima tawaran diskaun berbanding membuat pembayaran di balai.

Disiarkan pada: January 30, 2024 @ 2:07pm
d