mutakhir

Ahli perniagaan warga China cedera dipukul, dilarikan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang: Seorang ahli perniagaan warga China bukan sahaja kerugian RM200,000, malah turut cedera akibat dipukul ketika dilarikan beberapa individu dari sebuah hotel di Genting Highlands, Pahang, 1 Januari lalu.

Menceritakan kejadian itu, mangsa, Lang Xiu Tan, 40, memaklumkan beliau datang ke negara ini bersendirian pada 17 Disember lalu atas urusan perniagaan.

"Sebaik tiba, saya terus ke Genting Highlands tanpa membuat sebarang tempahan hotel. Ketika berada di kaunter pertanyaan di sebuah hotel, saya didatangi beberapa individu warga China.

"Mereka menawarkan khidmat untuk menunjukkan beberapa tempat di Genting Highlands yang saya berminat untuk membuat pelaburan hartanah.

"Mereka juga ada menawarkan khidmat untuk mendapatkan gelaran Datuk kepada saya," katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, di sini, hari ini.

Xiu Tan berkata, sepanjang tempoh dua minggu membawanya pergi ke beberapa kawasan di sekitar Genting Highlands, mereka meminta dia membayar RM200,000 bagi 'perkhidmatan' itu.

"Saya membuat pembayaran itu dalam mata wang China (yuan). Namun, saya mula mengesyaki ditipu kerana mereka asyik meminta wang selain salah seorang daripada mereka sentiasa mengekori saya.

"Pada 1 Januari lalu, mereka mengajak saya untuk melihat kawasan lain tetapi saya enggan dan mereka menipu saya menyatakan bahawa mahu mengajak saya keluar makan.

"Namun ketika dalam kereta, mereka minta lagi wang dan saya enggan memberinya. Mereka kemudian membawa saya ke sebuah kawasan perumahan dan meletakkan saya di pondok pengawal," katanya.

Menurutnya, beliau dibelasah dan dipukul menggunakan tong besar di bahagian kepala dan belakang badan sebelum tangannya diikat menggunakan pita pelekat.

"Malah, mereka juga ada mengugut saya supaya memberikan wang sebanyak RM200,000 lagi dan jika enggan mereka mahu menjual dan menghantar saya ke India.

"Semua lelaki terbabit meninggalkan saya dengan seorang pengawal keselamatan di pondok pengawal itu sebelum saya melarikan diri semasa lelaki terbabit (pengawal keselamatan) sedang tidur pada 2 Januari lalu.

"Saya dibantu seorang lelaki tempatan yang menaiki motosikal dan dia membawa saya ke Balai Polis Kajang untuk membuat laporan," katanya yang sudah membuat laporan kepada Kedutaan China berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Adun Teratai Yew Jia Haur berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada pihak polis Bukit Aman untuk mendapatkan perkembangan mengenai status siasatan kes terbabit.

"Saya dimaklumkan oleh mangsa bahawa dia tidak dimaklumkan mengenai perkembangan kes itu sama ada suspek sudah dikesan atau ditahan selain mahu mengetahui berkaitan pembabitan pengawal keselamatan bertugas di kawasan perumahan berkenaan yang bersubahat dalam kejadian ini.

"Pada masa sama, saya harap ada pihak berkaitan boleh membantu mengendalikan pelancong dari luar negara yang datang ke Malaysia atas urusan perniagaan bagi mengelak mereka ditipu serta lain-lain jenayah seperti berlaku pada mangsa," katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2024 @ 2:14pm
d