mutakhir

Polis tidak berputus asa cari bukti baharu kes bunuh Zayn Rayyan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berputus asa mencari petunjuk baharu kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengakui tiada sebarang perkembangan terbaru berkaitan kes itu dan pihaknya masih mencari bukti baharu.

"Polis masih tidak berputus asa dan tidak akan menghentikan siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 29 Januari lalu, media melaporkan lebih 200 keterangan pelbagai individu direkodkan membabitkan siasatan di dua blok Apartmen Idaman di Damansara Damai, Petaling Jaya, berhubung kes itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dipetik berkata, pihaknya masih menilai bukti yang dikumpul berhubung kes itu.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 6 Disember lalu sebelum ditemukan meninggal dunia.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan selepas menemukan kesan kecederaan mempertahankan diri dan kecederaan pada bahagian leher mayat mangsa.

Disiarkan pada: January 31, 2024 @ 2:44pm
d