mutakhir

Syarikat swasta dialu-alukan anjur program satu padu rakyat berbilang kaum

Oleh Redzuan Muharam

Subang Jaya: Kementerian Perpaduan Negara mengalu-alukan kerjasama syarikat swasta dalam penganjuran program yang boleh menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pembabitan syarikat swasta bukan hanya dapat mengukuhkan hubungan dengan kerajaan malah diyakini membantu mempromosikan lagi program anjuran kementerian.

"Kalau kita ingin mengadakan program yang membawa kesemua masyarakat berbilang kaum, ia perlu babitkan syarikat besar.

"Tujuan kita adalah merapatkan hubungan berbilang kaum, agama dan budaya yang secara tak langsung membawa perpaduan dalam masyarakat.

"Jadi kita mengalukan (kerjasama syarikat swasta) yang secara tak langsung dapat mempromosikan barangan mereka dan membantu kita dalam pelbagai aktiviti," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran Kempen Kongsi Meriah Mydin di Mydin USJ di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perpaduan Negara Saraswathy Kandasami dan Pengarah Eksekutif Mydin Ahimmat Mydin.

Program bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina itu juga menyaksikan Mydin mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) berdasarkan kejayaannya membuat edaran 100,000 kraf naga kertas.

Berhubung inisiatif Bakul Rahmah Mydin yang menyaksikan penerima dari Selangor, Melaka dan Johor, Aaron berharap Mydin dapat memperluaskan bantuan itu ke negeri lain termasuk Sabah serta Sarawak.

"Harus…(diperluaskan) dan saya berharap Mydin dapat memperluaskannya," katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2024 @ 2:06pm
d