mutakhir

Ganggu pengurus restoran makanan segera dipercayai punca warga asing dipukul

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Seramai empat warga tempatan dan seorang warga asing ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Bukit Bintang, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 11.50 pagi semalam selepas rakaman video kejadian itu tular di Twitter.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat tindakan lelaki warga asing terbabit dikatakan mengganggu seorang wanita yang juga pengurus restoran berkenaan.

"Dalam siasatan kes ini, polis menahan lima individu terdiri daripada empat warga tempatan berusia 20 tahun dan seorang warga asing berusia 33 tahun.

"Kesemua mereka dipercayai terbabit dalam pergaduhan yang berlaku kelmarin lebih kurang 8.30 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular satu klip video berdurasi 16 saat memaparkan sekumpulan individu dipercayai pekerja sebuah restoran makanan segera bergaduh dengan individu lain sementara beberapa pekerja lain cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

Berdasarkan video tular berkenaan pergaduhan itu dipercayai berlaku di hadapan restoran makanan segera terbabit sambil diperhatikan oleh orang ramai yang lalu-lalang di situ.

Noor Dellhan berkata, kesemua suspek lelaki warga tempatan direman sehari bermula hari ini manakala warga asing terbabit selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 6, 2024 @ 7:19pm
d