mutakhir

Tak mustahil ada pihak cabar enakmen jenayah syariah di negeri lain - DUPP

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) melahirkan kekesalan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, keputusan itu sekali gus meletakkan kedudukan undang-undang syariah negeri seperti tidak ada nilai dalam sistem perundangan negara.

Beliau berkata, tidak mustahil pihak yang tidak senang dengan undang-undang syariah akan mengambil langkah drastik untuk mencabar enakmen jenayah syariah di negeri lain kerana ikutan (precedent) yang kuat daripada kes Iki Putra dan Nik Elin.

"Kita menyaksikan cabaran demi cabaran terhadap enakmen jenayah syariah negeri sejak kebelakangan ini.

"Sebelum kes Iki Putra, kes transgender Juzaili Khamis yang berpakaian wanita pernah dibangkitkan di mahkamah sivil mencabar peruntukan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan.

"Justeru, DUPP menggesa kementerian yang menjaga Hal Ehwal Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri supaya mempercepatkan persidangan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu seharusnya dilaksanakan lebih awal memandangkan semua pihak maklum mengenai implikasi petisyen yang dibawa oleh pempetisyen khususnya terhadap keabsahan undang-undang syariah negeri.

"DUPP mengajak seluruh umat Islam supaya mendoakan syariat Islam di Malaysia terus dapat dipertahankan dan dipelihara, InsyaAllah," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Disiarkan pada: February 9, 2024 @ 4:41pm
d