mutakhir

Tular rakaman 'dashcam' kereta dipandu secara bahaya, lelaki ditahan

Oleh Rosli Ilham

Chukai: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memandu kereta dalam keadaan berbahaya sehingga hampir menyebabkan kemalangan dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi.

Menurutnya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut berdasarkan satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) milik seorang pengguna jalan raya.

"Berdasarkan rakaman itu, kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Chukai-Air Putih dekat Kampung Paman sehingga tular di laman sosial facebook.

"Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapat perintah tahanan reman," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kejadian itu dirakamkan kamera papan pemuka seorang pengguna jalan raya ketika dalam perjalanan ke Setiu bersama ahli keluarganya, kira-kira 8.15 pagi.

Dalam rakaman itu, kereta dipercayai Volkswagen yang dipandu laju itu memotong dua kenderaan di depannya dan nyaris bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.

Kereta terbabit dikatakan turut bergesel dengan cermin sisi kereta Perodua Axia yang dipotongnya sebelum memecut ke arah Kampung Pasir Gajah.

Disiarkan pada: February 12, 2024 @ 5:20pm
d