mutakhir

Pemilik, pengurus kolej kemahiran tipu Skim Penjana didenda RM80,000, RM30,000

Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Angkara mengemukakan dokumen palsu bagi program Skim Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana) kira-kira tiga tahun lalu, pemilik dan pengurus Nur Ilahi Skills Resources didenda masing-masing RM50,000 serta RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mohd Azhar Othman memerintahkan demikian selepas kedua tertuduh iaitu Arrie Syahiman Mohd Zain, 34, dan Nurul Azwani Mohd Razali, 38, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Sebelum ini, mereka mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan tiga dokumen tuntutan palsu berjumlah RM126,100.

Berdasarkan pertuduhan pilihan terbabit, Arrie Syahiman dan Nurul Azwani didakwa mengemukakan borang pengesahan pekerja palsu bagi menuntut insentif Skim Penjana berjumlah RM5,300.

Mereka didakwa melakukannya di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kuala Terengganu pada 5 Julai 2021.

Kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Azhar yang mengambil kira pengakuan bersalah terbabit memutuskan Arrie Syahiman sebagai pemilik syarikat didenda RM50,000, manakala Nurul Azwani pula didenda RM30,000.

Beliau juga mengarahkan dua komputer dibeli dengan insentif Penjana 2.0 dan baki wang berjumlah RM30,949.94 di dalam akaun bank Nur Ilahi Skills Resources dilucut hak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar, manakala Arrie Syahiman dan Nurul Azwani pula masing-masing diwakili peguam, Mohd Fauzi Razali dan Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 24 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Ketiga-tiga pertuduhan itu digugurkan Hakim Ahmad Azhar selepas menerima permohonan pihak pendakwaan berikutan permohonan bersalah Arrie Syahiman dan Nurul Azwani pada kelmarin.

Disiarkan pada: February 18, 2024 @ 4:16pm
d