mutakhir

Timbang beberapa mekanisme tambah baik perlindungan penggiat seni, pengamal media - Fahmi

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beberapa mekanisme boleh dipertimbang dalam usaha menambah baik liputan perlindungan kepada penggiat industri seni dan pengamal media khususnya wartawan sambilan di negara ini.

Beliau berkata ini termasuk mengembangkan skim perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada individu bekerja sendiri untuk mencarum bagi membolehkan mereka mendapat manfaat pencen ilat dan pencen penakat.

"Bagaimanapun, masih awal untuk kita putuskan kerana ini bergantung kepada beberapa perkara yang dalam perkiraan Perkeso tetapi esok saya akan adakan pertemuan dan mesyuarat bersama Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong serta pihak Perkeso.

"Ini adalah pertemuan rasmi pertama untuk kita meneliti beberapa aspek dan saya harap dalam masa yang tidak terlalu lama, kita akan ada berita gembira untuk para seniman, pelakon, kru produksi dan penggambaran, warga media serta golongan e-hailing," katanya kepada pemberita semasa program Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai malam ini.

Fahmi diminta mengulas kenyataan beliau hari ini bahawa kerajaan MADANI sedang berusaha menambah baik skim bagi melindungi serta meningkatkan kebajikan seniman dan ahli keluarga mereka.

Mengulas cadangan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) supaya pelepasan cuti khas pada 1 Februari diberikan kepada semua kru penggambaran seluruh negara, beliau berkata perkara itu belum dipertimbang di peringkat kementerian.

"Namun saya akan minta pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk teliti beberapa penambahbaikan, sebagai contoh melalui penyediaan kontrak standard yang boleh menjadi garis panduan kepada semua syarikat yang membuat penggambaran dan mendapat Sijil Perakuan Penggambaran Filem (SPP).

"Ini penting kerana kita lihat ada keperluan untuk memastikan semua terutama kru mendapat perlindungan, jadi saya lihat ada beberapa perkara praktikal yang perlu kita utamakan. Apapun, saya sedia bertemu dengan rakan-rakan Profima dan persatuan lain untuk teliti cadangan ini," katanya.

Pada awal Februari lalu, Presiden Profima Khalil Saleh memaklumkan bahawa langkah mewajibkan pelepasan cuti khas pada 1 Februari untuk semua kru penggambaran di seluruh negara menjadi antara lima perkara yang diangkat dalam Resolusi Banding kepada Finas.

Beliau berkata penghargaan di peringkat kebangsaan itu adalah bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan golongan tersebut kepada industri kreatif negara yang selama ini sentiasa dipandang remeh.

Disiarkan pada: February 18, 2024 @ 11:52pm
d