mutakhir

Sayur 300km

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Taiping: Demi kelangsungan hidup, seorang ibu tunggal sanggup menempuh perjalanan lebih 300 kilometer menaiki motosikal dari Changkat Jering di sini ke ibu negara semata-mata berniaga sayur kampung.

Demikian pengorbanan Siti Norol Salwani Ismail, 29, setiap hujung minggu sejak pertengahan tahun lalu demi menyara satu-satunya anak yang kini berusia 10 tahun.

Siti Norol Salwani berkata, idea 'gila' berniaga sayur kampung dari Changkat Jering ke Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur tercetus selepas dia terbeli pucuk paku 'tua' dan sayur lain pada harga mahal selain tidak segar ketika berada di sana pada , tahun lalu.

"Sejak kejadian itu, terlintas di fikiran untuk cuba berkongsi dengan menjual hasil segar dari kampung dengan orang Kuala Lumpur kerana ia masih murah dan mudah diperolehi di kawasan Bukit Gantang dan Changkat Jering.

"Pada awalnya agak berat untuk saya memulakan perniagaan ini kerana jarak yang perlu ditempuhi iaitu (300) kilometer (sehala) dan mengambil masa lebih empat jam ditambah pula dengan hanya menunggang motosikal.

"Namun tidak disangka percubaan pertama berniaga di sana, sayur kampung seperti petai, pucuk paku, pucuk ubi, belalai gajah, nangka muda, kacang itik, jering dan ulam laris dan habis terjual," katanya.

Menurutnya, dia yang berniaga antara jam 3 petang atau 5 petang hingga ke malam menjual sayur pada harga sama seperti di Changkat Jering, cuma berbeza dari segi kesegaran.

"Harga saya jual bermula RM2 hingga RM10 seikat, tak banyak beza jika dibandingkan dengan jualan di Changkat Jering, kecuali kualiti dan kesegarannya.

"Sejak itu, semangat saya meluap-luap untuk berniaga di sana.

"Malah, hampir setiap minggu saya berulang-alik dari Changkat Jering ke Kuala Lumpur walaupun hanya dengan menunggang Honda Wave FI 125cc," katanya.

Anak kelima daripada 10 beradik itu berkata, antara rintangan yang sering dihadapi adalah tayar pancit selain berdepan cuaca tidak menentu.

"Perkara itu sudah biasa dan sering dilalui, malah pernah satu ketika motosikal saya tersadai di lebuh raya.

"Bagaimanapun, ia bukan halangan dan saya puas apabila dapat berkongsi sayur segar dengan penduduk di Kuala Lumpur," katanya yang turut menjual laksam, nasi lemak dan nasi kerabu pada hari lain.

Siti Norol Salwani yang baru melangsungkan perkahwinan dengan pasangan pada Jumaat lalu berkata, perniagaannya dihentikan sementara pada awal tahun ini bagi menguruskan hal perkahwinan.

Katanya, berdasarkan pengalaman, dia bertekad meneruskan perniagaan selepas menerima motosikal baru berikutan motosikal lama rosak teruk.

"Tambahan pula suami tidak melarang, malah merancang sama-sama berniaga di sana," katanya.

Kisah perjalanan hidup Siti Norol Salwani mendapat perhatian apabil turut dikongsikan di TikTok serta di laman Facebook The Solo Rider Malaysia.

Disiarkan pada: February 19, 2024 @ 7:01am
d